Tuesday, December 6, 2011

HUKUM PINJAMAN DAN ASB


Soalan; assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan mengenai pinjaman ASB yang terdapat dikebanyakan bank tempatan. Apakah hukumnya?

Jawapan;

Soalan di atas menyentuh dua masalah hukum;
1. Hukum pinjaman dari bank
2. Hukum pelaburan ASB

Mengenai masalah pertama (pinjaman Bank), ia adalah harus jika pinjaman tersebut bebas dari riba. Untuk memastikannya, bagi orang awam mereka boleh bersandar kepada pengesahan Panel/Badan Syariah yang dilantik oleh Bank. Jika tidak ada pengesahan, ia hendaklah dirujuk kepada ulamak atau ustaz yang mahir tentang selok-belok muamalat bank. Bagi produk pinjaman yang kuhusus ditawarkan oleh bank tertentu, tidak memadai dengan hanya merujuk kepada fatwa umum tentang pinjaman, akan tetapi hendaklah merujuk kepada fatwa khusus tentang produk pinjaman terbabit. Jadi, langkah mudah bagi orang awam ialah dengan meminjam dari Bank yang mempunyai Badan Syariah dan setiap produk pinjaman yang ditawarkan telah disahkan oleh Badan Syariahnya. Elakkan dari pinjaman yang tidak ada pengesahan dari mana-mana Badan Syariah atau ulamak berautoriti kerana ia berkemungkinan Haram atau Syubhah. Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam- "Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu dengan melakukan apa yang tidak meragukan" (HR Imam at-Tirmizi dari al-Hasan bin Ali).

Persoalan kedua (Adakah pelaburan dalam ASB harus atau tidak mengikut hukum Syariat?); Para ulamak hari ini berbeza pandangan; jumhur (majoriti) ulamak mengharamkannya dan terdapat sebahagian ulamak mengharuskannya. Badan-Badan Fatwa di Malaysia juga tidak sepakat dalam masalah ini. Antara yang mengharamkannya ialah;
1. Majlis Fatwa Pulau Pinang
2. Majlis Fatwa Selangor
Yang mengharuskannya pula;
1. Majlis Fatwa Kedah
2. Majlis Fatwa Trengganu
3. Majlis Fatwa Perak
4. Majlis Fatwa Serawak
5. Majlis Fatwa Kebangsaan

Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuarat kali ke-80 (1 - 3 Februari 2008) telah memutuskan; "Hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus"
(http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pelaburan-dalam-asn-asb-dan-seumpamanya).

Apabila telah ada fatwa yang mengharuskannya dari Badan Fatwa yang berautoriti, haruslah bagi orang awam untuk berpegang dengan fatwa tersebut selama mereka meyakininya. Bagi yang meyakini keharamannya -sama ada bersandar kepada kajian sendiri atau bersandar kepada fatwa yang mengharamkannya-, haramlah ia menceburi pelaburan tersebut, namun tidak harus ia mentohmah orang yang menceburinya sebagai orang yang berdosa atau melakukan munkar kerana ada fatwa lain mengharuskannya. Berkata Imam Ibnu Rajab; “Munkar yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak atas munkarnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan, tidak diingkari orang yang melakukannya sama ada dengan ijtihadnya atau dengan ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus” (Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 63-64).

Namun jika tuan/puan meninggalkannya dengan niat mengelak dari syubhah (kerana masih diikhtilafkan halal atau haramnya di kalangan ulamak) atau dengan niat lari dari khilaf ulamak, itulah tindakan yang terbaik merujuk kepada hadis Nabi (bermaksud); "Sesiapa menjaga diri dari perkara-perkara syubhah, ia sesungguhnya mengambil sikap yang dapat membebaskan agama dan kehormatan dirinya" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari an-Nu'man bin Basyir). Para ulamak menegaskan; "Mengambil sikap untuk keluar dari khilaf adalah digalakkan".

Wallahu a'lam.

Sumber:

http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/02/hukum-pinjaman-asb.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...