Thursday, December 15, 2011

JPA: 14 hari terima opsyen SBPA cukup, kes khas dilanjut masa


KUALA LUMPUR, 15 Dis — Tempoh dua minggu, yang akan berkuat kuasa esok, bagi 1.4 juta kakitangan awam meneliti dan mempertimbangkan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) memadai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Abu Bakar (gambar) bagaimanapun menjelaskan, pihaknya akan memberi tempoh lanjutan kepada kakitangan dalam kes-kes tertentu.

“Dalam kes-kes tertentu, seseorang kakitangan akan diberi kelonggaran, akan dilanjutkan tempoh, misalnya mereka yang bercuti, ada urusan lain.
“Kami akan memberi lebih masa, dilanjutkan tempoh untuk mereka meneliti opsyen sistem ini,” kata beliau malam tadi.
Justeru kata beliau, berdasarkan siri taklimat yang telah diberi di peringkat persekutuan dan negeri, pihaknya mendapati tempoh dua minggu yang diperuntukkan memang memadai dan mencukupi.
“Saya lihat kebanyakan kakitangan faham, sistem saraan ini membawa penambahbaikan daripada sistem lama,” kata beliau lagi.
“Sebagaimana saya katakan hari itu (minggu lalu), tempoh dua minggu ini sudah cukup,” katanya lagi sambil menjelaskan, siri taklimat peringkat persekutuan sudah selesai dan diteruskan di peringkat negeri.
SBPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini. Tempoh opsyen menerima SBPA selama dua minggu bermula esok dengan borang berkenaan akan diedarkan hari ini.
Kakitangan awam dikehendaki menerima opsyen menjelang 30 Disember ini iaitu sama ada menerima SBPA ataupun mahu kekal di bawah SSM.
Sistem Saraan Baru (SSB) yang diperkenalkan pada 1992 memberi tempoh 30 hari untuk mempertimbangkan opsyen skim gaji ketika itu.
Kakitangan awam yang masih berada di bawah SSB juga boleh mempertimbangkan ospyen SBPA.
Pekeliling mengenai pelaksanaan SBPA dikeluarkan Rabu lalu.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat pendirian sama ada menerima tawaran skim SBPA ataupun sebaliknya pada satu mesyuarat khas hari ini.
Sebelum ini, Cuepacs dilaporkan tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau “exit policy”.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata keputusan untuk menerima atau menolak SBPA akan diputuskan oleh 135 kesatuan gabungan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan menghadiri kongres penuh Kuala Perlis.
Katanya, keputusan penting lain termasuk meminta JPA melanjutkan tempoh menandatangani surat tawaran SBPA juga akan diputuskan.
“Kongres ini khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.
“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya semalam.
Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.
Beliau berkata Cuepacs meminta anggota-anggotanya tidak menandatangani surat tawaran JPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya SBPA.
Sementara itu laporan Bernama Online memetik Abu Bakar berkata, SBPA tidak dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya diberi pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk penjawat awam sendiri.
Kata beliau, berkata antara platform konsultasi ialah persatuan perkhidmatan awam, Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan Majlis Bersama Kebangsaan (MBK).
Beliau berkata, skim SBPA diperkenalkan sebagai langkah pertama di bawah Pelan Induk Persaraan yang bertujuan menambah baik perkhidmatan awam.
Menjawab soalan berhubung kebimbangan sebilangan penjawat awam yang khuatir diberikan nilai prestasi rendah di bawah SBPA, Abu Bakar menjelaskan kerajaan telah menetapkan bahawa tidak ada sesiapa yang akan teraniaya di bawah skim baru itu.
Beliau berkata penjawat awam yang memperoleh nilai prestasi di bawah 69 peratus akan dibuat penilaian semula oleh panel yang bakal ditubuhkan.
“Panel ini akan kaji apakah markah penjawat awam yang mendapat 69 peratus ke bawah pada 2012 ini merupakan pencapaian yang konsisten dengan tahun-tahun sebelumnya.
Kalau nilai prestasinya sama, maka memang penjawat awam itu berprestasi rendah, tetapi jika itu pertama kali dia mendapat nilai prestasi seperti itu, maka panel akan membuat kajian tertentu dan akan kemukakan cadangan.
“Antaranya, kalau markah mereka rendah tahun depan mungkin disebabkan masalah peribadi, kita beri kaunseling dulu. Kalau penjawat awam itu tidak sesuai dengan jawatan sedia ada, kita boleh cuba pindah ke jawatan lain,” katanya.
Sekiranya panel mendapati penilaian yang dibuat oleh ketua seseorang penjawat awam itu kurang adil, penilai baru akan dilantik bagi menilai semula prestasi penjawat awam berkenaan.
Penilaian prestasi penjawat awam hanya akan diambil kira bermula tahun depan, iaitu apabila penjawat awam memilih untuk menerima SBPA, katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...