Tuesday, December 13, 2011
Hukum Sambut Tahun Baru Masihi
Apa Hukum Sambutan Tahun Baru Masihi?
Kita berada di ambang tahun baru 2012. Tahun 2011 akan ditinggalkan dengan seribu kenangan, yang termaktub sudah dalam lipatan sejarah. Sejarah sukan negara yang terkini adalah tentang skuad bola sepak Negara yang memenangi Piala AFF 2011. Mungkin dalam kehidupan kita sendiri, mempunyai sejarah pahit dan manis yang dilalui sepanjang tahun ini yang akan kekal sepanjang hidup kita. Semua ini mengajar satu erti hidup dan kisah bersama.
Berbalik kepada sambutan tahun baru yang akan disambut esok, terutama sekali sambutan diperingkat negeri dan negara. Soalnya sekarang, apakah hukum menyambut tahun baru masihi?
HUKUM SAMBUTAN TAHUN BARU MASIHI
Ustaz Zaharuddin menyatakan hukumnya adalah HARUS secara bersyarat, iaitu;
a) Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan.
b) Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat.
c) Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.
d) Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’ – anjurkan majlis ilmu.
Baca pandangan penuh Ustaz Zaharuddin di sini.
Namun hakikat hari ini sambutan tahun baru tidak lengkap kalau tiada konsert-konsert hiburan, samada di kaca TV ataupun di tempat sambutan tahun baru. Justeru itu ia lebih membawa keburukan apabila berlakunya pergaulan bebas, ada yang mabuk dan bertindak liar merosakkan harta benda awam serta mengancam petugas-petugas keselamatan yang berkawal.
Sehubungan itu, lebih baik kita mengelakkan diri daripada terlibat dalam sambutan tahun baru yang diketahui bercampur aduk dengan program-program maksiat.
SAMBUTAN YANG POSITIF
Sebagaimana syarikat-syarikat dimestikan membuat penyata kewangan untuk setiap tahun kewangan masing-masing, penutup 2011 menjadi satu titik terbaik untuk kita muhasabah dan menganalisa pencapaian sebenar untuk sepanjang 2011. Post-mortem diperlukan untuk mengetahui di mana kita berada dan ke mana tujuan kita seterusnya.
Saudara Amin Idris, dalam laman webnya Magnet Diri menyatakan beberapa langkah untuk membuat post-mortem seperti berikut;
a) Merujuk kembali kepada matlamat atau azam 2011
b) Merujuk perancangan untuk mencapai matlamat tersebut
c) Perancangan dilaksana
d) Perancangan tertangguh
e) Sebab tertangguh dan idea mengatasinya
Nah, setelah selesai membuat analisis, kita sudah bersedia untuk membuat matlamat 2011, beserta perancangannya.
MATLAMAT 2012 YANG ‘SMART’
Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusuf dalam buku mereka, Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah memberi tip ‘SMART’ untuk menghasilkan matlamat yang berkesan;
a) S: Spesifik, A: Anggar
Memperincikan matlamat dan mampu diukur. Contohnya menabung 10% pendapatan bulanan setiap bulan. Jadi kalau pendapatan RM4,000, jumlah tabungan bulanan ialah RM400, yang mana selama setahun akan menghasilkan jumlah keseluruhan RM4,800!
b) M: Menarik
Matlamat yang mampu membakar semangat anda. Matlamat tersebut mesti mempunyai kebaikan untuk diri anda, keluarga dan masyarakat. Ia juga sepatutnya mampu membangkitkan perasaan ghairah untuk mencapainya. Contoh, untuk meningkatkan pendapatan bulanan sehingga RM7,000 sebulan! Ataupun untuk ‘score’ 12A dalam peperiksaan SPM 2012! Menarik bukan?
c) R: Ransang dan regang
Matlamat tersebut mampu mencabar kemampuan anda. Contoh, untuk mendapatkan ‘passive income’ RM5,000 sebulan, merangsang dan mencabar kan? Bill Gates bermula dengan menetapkan matlamat ‘sebuah komputer di atas setiap meja, di dalam setiap rumah’!
d) T: Tulis
Matlamat perlu direalisasikan daripada ruang pemikiran kita ke atas kertas! Kajian di Universiti Yale pada tahun 1953, hanya 3% pelajar menulis matlamat mereka, sementara 97% tidak menulisnya. Kajian susulan 20 tahun kemudian mendapati pendapatan keseluruhan 3% pelajar yang menulis matlamat adalah lebih besar berbanding pendapatan keseluruhan 97% yang tidak menulis matlamat! Hebat sekali kesan menulis matlamat yang jelas bukan?
Kesimpulannya, marilah kita muhasabah diri dan merencanakan matlamat yang ingin dicapai sepanjang 2012 nanti. Itu yang lebih penting berbanding berpusu-pusu menanti detik 2012 yang bercampur gaul dengan sambutan ala orang-orang barat.
Tahun baru membawa erti diri ini semakin hampir dengan kematian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment